Beraksi di peringkat tertinggi sehingga usia penghujung 30-an mungkin tugas sukar buat pemain bola sepak, namun persepsi itu berjaya ditepis penjaga gol Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Rahman.

Bakal berusia 40 tahun pada kurang dua minggu lagi, penjaga gol berpengalaman itu menjadi pemain utama TFC di benteng terakhir dalam tiga aksi pertama musim ini.

Kehadirannya sejak musim lalu juga menyaksikan Mohd Suffian bukan sekadar pelengkap skuad Sang Penyu, malah menampilkan aksi meyakinkan dalam kesebelasan utama.

“Saya bersyukur diberikan kepercayaan oleh jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) selain sokongan rakan sepasukan serta penyokong.

“Selepas musim lalu berakhir, saya tidak menyangka khidmat masih diperlukan dan saya mahu mengekalkan posisi nombor satu,” katanya selepas perlawanan bertemu Selangor, kelmarin.

Mengulas lanjut prestasi semasa bersama TFC, pemain kelahiran Melaka itu optimis mampu meningkatkan lagi persembahannya sambil mengharapkan mereka mampu mengekalkan aksi konsisten.

“Selain menjaga pemakanan, sesi latihan juga medan memberikan aksi terbaik untuk berada dalam skuad.

“Perjalanan liga masih jauh. Banyak lagi kerja keras perlu kami lakukan untuk kekal memberi saingan," ujarnya.