Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, dikenakan denda sebanyak €5,000 (RM24,415) tetapi mengelak penggantungan ekoran 'cercaannya' dalam kemenangan 4-0 Juventus di Parma, Disember lalu.

Pemain berusia 43 tahun itu dikesan kesalahan berkenaan oleh kamera ketika menjerit memberi arahan kepada rakan sepasukannya, Manolo Portanova.

Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) kemudian membuka prosiding tatatertib terhadapnya dan penjaga veteran itu berdepan risiko digantung satu perlawanan atas komen tersebut.

Namun, Mahkamah Persekutuan Kebangsaan hanya "menerima sebahagian" sahaja rujukan FIGC dalam perbicaraan semalam dan bekas pemain antarabangsa Itali itu mengelak penggantungan, sebaliknya didenda.

Buffon telah berkhidmat sebagai pengganti kepada Wojciech Szczesny sejak kembali ke Turin daripada Paris Saint-Germain (PSG) pada 2019 dengan membuat sembilan penampilan musim ini.