Gianluigi Buffon percaya pasukan yang tampil dengan keinginan lebih besar akan muncul sebagai pemenang menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di antara Real Madrid dan Juventus.

Undian semalam menetapkan ulangan final edisi lalu bakal disaksikan tatkala aksi di Cardiff sebelum ini menyaksikan Los Blancos muncul sebagai pemenang dengan keputusan 4-1.

Juve tewas dua daripada tiga perlawanan akhir terakhir Liga Juara-Juara, selepas tunduk di tangan Barcelona pada 2015 di Berlin, sekali gus membuatkan Buffon terus kempunan untuk menjulang piala terunggul Eropah itu.

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 40 tahun itu tetap tidak berputus asa akan kebolehan pasukannya tatkala aksi pertama bakal dilangsungkan pada 3 April depan.

“Kadangkala kami menang, ada masa kami tewas,” tulis Buffon melalui laman Instagram miliknya apabila meletakkan gambar bersama kapten Madrid, Sergio Ramos.

“Sejujurnya, apabila anda tewas di tangan sesetengah pasukan yang merupakan juara, anda tidak akan berasa begitu kecewa di atas kekalahan itu.

“Saya berharap perkara sama juga buat mereka. Pasukan yang memiliki azam lebih tinggi akan menang!”