Budaya "benci" di Itali semakin teruk -- Conte

Penulis Jemputan
September 20, 2019 23:53 MYT
Ketua jurulatih Inter, Antonio Conte, percaya budaya "membenci" dalam bola sepak Itali semakin teruk sejak dia kembali ke Serie A.
Penyokong Cagliari mengejek penyerang Inter, Romelu Lukaku, sebelum dia mengambil sepakan penalti ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Serie A awal bulan ini.
Stesen televisyen Itali, TopCalcio24, Isnin lalu telah menggantung khidmat pengulas, Luciano Passirani, yang telah memohon maaf di atas ulasan yang berunsur perkauman ke atas Lukaku.
Conte meneruskan kariernya dalam bidang pengurusan di bumi kelahirannya apabila menyertai Inter, Mei lalu selepas dua musim bersama Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali berusia 50 tahun itu bercakap dalam sidang media di San Siro semalam menjelang pertemuan dengan AC Milan, di mana ia dipanggil sebagai 'Derby Menentang Perkauman'.
"Saya kembali selepas tiga tahun dan ia semakin teruk," kata Conte.
"Terlalu banyak kebencian. Ia merupakan sesuatu yang tidak baik. Apa yang wujud di Itali semakin teruk.
"Saya bertuah kerana meraih pengalaman di England, di mana mereka menghantar penyokong ke penjara dan menggantung mereka daripada kembali menonton perlawanan di stadium.
"Kami perlu memperbaiki perkara ini. Itu sebab di England anda dapat melihat keluarga turun menyaksikan perlawanan bola sepak.

?‍♂️ | WORKING HARD An afternoon session for the boys today ahead of the #DerbyMilano ? Photos and report ? https://t.co/kL8zlpuyvK pic.twitter.com/aMI07aEhsl

— Inter (@Inter_en) September 19, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Conte turut membidas media dan mendakwa mereka mengekalkan masalah itu ke tahap yang lebih besar untuk meningkatkan lagi persaingan di antara pasukan.
Dia berkata lagi, "Media turut berperanan menjadikan situasi ini semakin teruk dan tidak bertindak sebagai pengaruh yang positif.
"Mudah untuk menulis artikel mengenai sesuatu yang telah berlaku dan memilih untuk mencari jalan bagi memastikan masalah tidak berulang pada masa akan datang.
"Ia merupakan artikel yang memupuk pembaca untuk tidak menghadirkan rasa kesedaran dalam permasalahan melibatkan isu perkauman ini.
"Saya berasakan ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya disajikan kepada generasi baru kerana mereka membaca perkara mengenai kebencian dan keganasan.
"Jalan terbaik adalah memberikan pesanan yang positif, ini adalah perkara yang harus dilakukan bagi menyelesaikan kemelut yang semakin teruk di Itali."