Graham Potter menjelaskan Brighton & Hove Albion sebenarnya tidak terdesak untuk menjual Marc Cucurella kepada Chelsea walaupun percaya semua pihak menikmati situasi menang-menang dengan perjanjian itu.

Pemain antarabangsa Sepanyol tersebut melengkapkan perpindahan yang dilaporkan bernilai lebih £60 juta (RM322.8j) itu untuk menyertai pasukan bimbangan Thomas Tuchel yang turut berhasil memancing Kalidou Koulibaly, Raheem Sterling, Carney Chukwuemeka dan Gaga Slonina.

Perpindahan itu tercapai selepas beberapa hari bekas majikannya tersebut cuba bermain tarik tali apabila mengeluarkan satu kenyataan di media sosial untuk menafikan pembelian berkenaan.

The Blues kemudian mengesahkan langkah itu dan pengurus Brighton, Potter, bercakap menjelang perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United, awal pagi esok, tampil menjelaskan pendirian kelab tersebut.

"Kami tidak mahu menjualnya dan kami tidak perlu menjualnya," katanya dalam sidang akhbar.




“Pada masa yang sama, anda faham jika kelab Liga Juara-Juara (UCL) membuat tawaran dan menerusi sumber dan kewangan kancah itu selain pemain menunjukkan ada keinginan untuk melakukannya, ia menjadi amat sukar buat kami.

"Kami perlu memastikan bahawa kami menerima pampasan yang tepat. Saya rasa yuran yang tepat telah dicapai dan ia adalah satu lagi situasi di mana semua orang menang-menang.

"Pemain telah mendapat peluang yang hebat, kelab yang menjual telah mendapat bayaran yang baik dan kelab yang membelinya pula memperoleh seorang tonggak yang bagus.

"Jadi semua pihak menang. Marc adalah pemain yang cemerlang buat kami, seorang lelaki yang hebat, saya sangat menyukainya.

"Saya doakan dia selamat dan kami akan terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah kumpulan."