LEICESTER 2 SPURS 4

Brendan Rodgers "200 peratus" akan kekal mengendalikan Leicester City musim depan walaupun pasukannya terlepas kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) berikutan kekalahan kepada Tottenham.


The Foxes memulakan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam tadi di tangga kelima dan mampu mengatasi kempen Chelsea yang di tangga keempat -- ditundukkan Aston Villa 1-2 -- sekiranya mereka mengalahkan Spurs.

Bagaimanapun, Leicester gagal mempertahankan pendahuluan 2-1 yang terhasil menerusi dua sepakan penalti Jamie Vardy, sebelum tewas 2-4 di Stadium King Power.

Selepas diikat Harry Kane 1-1, kesilapan Kasper Schmeichel yang tertumbuk bola sepakan sudut ke gawang sendiri selain dua sentuhan berbisa pemain gantian, Gareth Bale, memacu kelab London itu Tottenham menutup musim ini di tempat ketujuh.

Rodgers, yang membimbing Leicester menjulang trofi pertama Piala FA ke atas Chelsea minggu lalu, telah dikaitkan dengan perpindahan menjelang musim depan.

Namun, bekas pengurus Celtic itu berhasrat untuk terus berada di Leicester. Ditanya adakah dia bersedia untuk meredakan kegentaran penyokong di celah-celah laporan yang mengaitkan dengan Tottenham, Rodgers memberitahu talkSPORT: "200 peratus saya dapat pastikannya. Saya suka di sini."





Rodgers menambah ulasannya dalam sidang media selepas perlawanan: "Peminat tidak perlu risau tentang saya, saya suka di sini, lebih-lebih lagi kami baru sahaja dikecewakan (merebut tiket UCL).

"Ia membuatkan semangat saya makin meluap-luap untuk mencapai tahap itu. Kami akan merancang dan bersiap-sedia."

Leicester hanya tewas enam kali dalam 25 perlawanan pertama liga sepanjang 2020-21, tetapi mencatat enam kekalahan dalam 13 perlawanan terakhir.

Mereka menikmati kelompok empat terbaik selama 242 hari daripada seteru lain pada musim ini, namun mereka terpaksa menelan kepahitan perlu beraksi dalam Liga Europa musim depan.

Rodgers menggantikan Claude Puel sebagai pengurus pada Februari 2019 ketika kelab terbabit menghuni tangga ke-11 liga, sejak itu dia membimbing mereka menamatkan saingan di tempat kelima berturut-turut.

Biarpun pengurus berusia 48 tahun itu kecewa terlepas saingan UCL, dia masih boleh berbangga dengan kemajuan yang ditonjolkan mereka.

"Sangat mengecewakan bagi kami untuk terlepas (ke UCL)," katanya kepada BBC Sport.

"Kami berjuang tinggi sepanjang musim ini. Anda dinilai selepas 38 perlawanan dan malangnya kami tidak dapat memuktamadkannya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa selain berbangga dan kagum terhadap barisan pemain. Mereka selalu menghadapi krisis kecederaan.

"Ketika kami mula bekerjasama, kami berada di pertengahan carta liga dan dua tahun kemudian, kami sudah mula mencabar pasukan elit dan memenangi Piala FA buat julung kalinya dalam sejarah kami.

"Kami meniti di jalan yang tepat tanpa bantuan (daripada pasukan lain). Saya tidak mempunyai apa-apa kekesalan selain berbangga. Pemilik telah memberi saya sokongan yang luar biasa.

"Setiap hari pemain menyerahkan hati dan jiwa mereka kepada saya. Saya cuma terkilan kerana mereka tidak dapat melepasinya."