Perak membuktikan perwatakan sebenar dalam laluan menjulang Piala Malaysia 2018 tatkala kejayaan itu ditunjangi pemain terbaik perlawanan, Brendan Gan, yang pernah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.

Brendan pernah mengalami kecederaan lutut kanan yang serius sebelum masalah di bahagian lutut kiri hampir meragut kerjayanya.

Bagaimanapun, situasi perit yang pernah dilalui itu menjadi pemangkin buatnya ketika Perak ketinggalan 2-0 di awal permainan.

Brendan muncul pencetus kebangkitan bermula dengan gerakan yang menghasilkan gol pertama Perak yang disudahkan Firdaus Sayadi sebelum dia menyelamatkan The Bos Gaurus dengan gol penyamaan dalam masa kecederaan.

"Ia satu perkara yang hebat. Memenangi Piala Malaysia semestinya satu bonus besar buat diri saya.

"Saya sering berkata ketika sesi latihan bahawa saya menyimpan jaringan untuk perlawanan penting. Gol itu jelas sangat penting dan saya menggunakan peluang sebaiknya," kata Brendan.

Sementara itu, Perak juga hampir berduka dengan dua kesilapan mudah, termasuk daripada penjaga gawang, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Namun, dia memilih untuk mengesat air mata dan menampilkan kewibawaan sebenar ketika penentuan sepakan penalti dengan menafikan dua tendangan pemain Terengganu untuk membolehkan Perak menang 4-1.

"Dalam bilik persalinan, saya hanya berdiam diri dan cuba mendapatkan semula keyakinan kerana pemain lain memerlukan saya. Jika saya terus dibuai kesedihan akibat kesilapan itu, mungkin keadaan jadi lebih teruk," kata Hafizul.

"Mereka bangkitkan semula semangat saya dan syukur akhirnya kami menjulang Piala Malaysia."