Thiago Silva mahu Philippe Coutinho menyertai skuad Brazil susulan ketiadaan Neymar yang mengalami kecederaan menjelang saingan Copa America.

Brazil membelasah Honduras yang dibarisi 10 pemain 7-0 dalam aksi persahabatan sebelum kejohanan itu semalam, di mana Coutinho menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan menghasilkan satu bantuan jaringan.

Neymar akan terlepas aksi Copa America akibat kecederaan buku lali, sekali gus memberi tamparan buat tuan rumah yang menjadi pilihan.

Silva mengakui Coutinho melalui tempoh sukar di Barcelona tetapi dia berharap penggempur itu mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar.

"Permainan kolektif menjadi keutamaan. Coutinho melalui musim sukar di Barca. Jangkaan tinggi dan peminat mengejeknya beberapa kali, namun di sini dia adalah rujukan, terutama semasa ketiadaan Neymar," katanya.

"Coutinho tampil dalam perlawanan. Dalam dua aksi persahabatan, dia merupakan pemain terbaik di atas padang, bukan hanya disebabkan jaringan dan bantuan gol tetapi ketika bertahan. Dia mendapatkan semula kebahagiaannya.

"Saya sangat gembira dan selesa bercakap mengenai pemain ini kerana kami sangat rapat.

"Dalam aksi persahabatan pertama, saya cuba membuatkannya bertenang dan meminta Neymar memberikannya bantuan.

"Kami perlukannya, lebih-lebih lagi kini Neymar tidak dapat beraksi."

Brazil akan memulakan kempen Copa America menentang Bolivia, Jumaat ini.