Pemenang Piala Dunia 2002, Rivaldo, mahu Brazil mula memikirkan mengenai Qatar 2022 selepas mereka disingkirkan oleh Belgium.

Jaringan sendiri dan rembatan deras Kevin De Bruyne memberikan kemenangan 2-1 buat Belgium, dengan Renato Augusto menanduk masuk gol sagu hati buat Selecao.

Tite belum menyatakan sama ada beliau akan kekal sebagai ketua jurulatih ataupun tidak walaupun Ronaldo berasakan jawatan berkenaan harus kekal milik pengendali berusia 57 tahun itu.

Menerusi laman media sosial, Rivaldo berkata Brazil perlu mula merencanakan masa depan dalam kadar segera.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Belgium di atas kemenangan mereka," kata Rivaldo.

"Saingan sebenar Piala Dunia bermula dalam suku akhir.

"Piala Dunia berbeza daripada Copa America, saingan kelayakan atau aksi persahabatan. Tiada ruang untuk melakukan kesilapan.

"Daripada 32 pasukan, hanya ada satu pemenang dan kali ini ia tidak berpihak kepada Brazil.

"Ia merupakan saat yang menyedihkan buat semua yang menyokong Brazil tetapi kami akan bangkit pada masa akan datang.

"Kami perlu mula berfikir mengenai saingan di Qatar pada 2022," ujarnya lagi.

Ikon Brazil, Pele, turut menyuarakan perkara yang sama mengenai tumpuan terhadap masa depan selepas tersingkir daripada Russia 2018.

"Bukan semua perjalanan berakhir dengan apa yang kita inginkan," kata Pele.

"Tetapi setiap perjalanan itu memberikan pengalaman."