Kevin De Bruyne berkata Brazil tidak mempunyai idea untuk mengekang Belgium dalam babak pertama ketika Red Devils merakamkan kemenangan 2-1 dalam suku akhir Piala Dunia, awal pagi tadi

Belgium mendahului separuh masa pertama 2-0 hasil gol sendiri Fernandinho dan rembatan deras De Bruyne yang menyaksikan Brazil terpaksa mengejar perlawanan.

Kedua-dua gol merupakan hasil serangan balas -- De Bruyne menyempurnakan larian dan hantaran oleh Romelu Lukaku.

De Bruyne berasakan kegagalan Brazil menyesuaikan diri dengan taktikal Belgium menghukum mereka.

"Saya berasakan kami melakukan pertukaran taktikal," katanya.

"Lukaku dan Eden Hazard mengubah posisi dan mereka menghasilkan banyak peluang.

"Kami bermain baik dalam separuh masa pertama, menghasilkan banyak peluang dan Brazil tidak tahu untuk melakukan apa-apa.

"Dalam separuh masa kedua, Brazil melakukan perubahan permainan dan menampilkan persembahan yang lebih cemerlang," ujarnya.

Aksi seterusnya buat Belgium adalah pertembungan dengan Perancis dan De Bruyne bersedia untuk merebut peluang untuk negaranya.

"Perancis adalah pasukan yang berkualiti tetapi apabila kami mara ke separuh akhir, tiada pasukan yang lemah.

"Setiap pasukan yang terlibat mengetahui cara bermain bola sepak. Kami setaraf dengan Perancis. Kami akan berusaha untuk mencipta kejayaan buat Belgium."