RUSSIA 0 BRAZIL 3

Tite berasakan aksi persahabatan menentang Jerman akan berlangsung penuh emosi buat Brazil, empat tahun selepas diaibkan dalam pusingan akhir Piala Dunia edisi lalu.


Jerman memusnahkan Brazil 7-1 dalam separuh akhir Piala Dunia 2014 sehingga membuatkan negara itu seperti putus harapan.

Brazil akan bertandang ke Berlin pada awal Rabu nanti untuk menguji Jerman buat kali pertama sejak pasukan bimbingan Joachim Low itu menewaskan Argentina dalam perlawanan akhir untuk dinobatkan juara Piala Dunia.

Ketua jurulatih Brazil, Tite, menerima hakikat pemainnya mungkin dipengaruhi oleh memori dibelasah oleh Jerman.

"Dibelasah 7-1 merupakan perkara terkini," kata Tite. "Tentu saja kami tahu bahawa kami akan menghadapi Jerman di Berlin, mereka adalah juara dunia, mereka menundukkan kami 7-1 dan itu sudah berlalu.

"Kami dalam tempoh membentuk semula pasukan dan secara emosinya, ia akan menjadi penting. Sempena menghadapi Jerman, kami mahu bermain bola sepak yang berdaya saing, memiliki kekuatan mental dan menterjemahkan idea dalam permainan," tambahnya.

Brazil menewaskan Russia 3-0 di Moscow, tengah malam tadi, dalam persiapan menghadapi Piala Dunia Russia 2018 yang menyaksikan Miranda, Philippe Coutinho dan Paulinho masing-masing mencetak nama selaku penjaring.

Coutinho memainkan peranan yang lebih mendalam di bahagian tengah untuk menjadi perantara kepada rentak Brazil. Sehubungan itu, Tite menghamburkan pujian terhadap tonggak Barcelona itu.

"Dia bermain dengan baik, di bahagian tepi, menjelajah di pelosok padang serta menyusup ke kawasan lawan. Dia seorang pemain yang sopan dan berdaya saing," kata Tite.

"Dia seseorang yang boleh bersaing, kuat dan pada masa yang sama, sopan. Dia adalah pemain contoh.

"Kadang-kadang, orang keliru apabila pemain sopan tidak kompetitif. Dia boleh melaksanakan peranan lain dengan mudah," ujarnya.

Paulinho memenangi penalti yang disempurnakan oleh Coutinho sebelum menamatkan permainan dengan gol tandukan. Justeru, Paulinho berasa senang dengan peranannya di bawah kepemimpinan Tite.

"Tite memberi saya kebebasan mutlak untuk melakukan apa yang selalu saya lakukan sepanjang karier saya," katanya.

"Kami sedar kesukaran yang bakal kami hadapi. Pada babak kedua, pasukan Russia mencipta lebih banyak ruang dan peluang."