Pengendali Borussia Dortmund, Peter Bosz, mengakui dia sendiri tidak pasti sama ada Ousmane Dembele akan kekal bersama pasukan atau tidak.

Pemain berusia 20 tahun itu menarik perhatian Barcelona selepas dilihat sebagai pengganti yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar.

Dembele tidak hadir ke sesi latihan pada minggu lalu, sekaligus terlepas peluang disenaraikan ke dalam skuad menentang Wolfsburg esok dan tindakannya itu mengundang kritikan daripada rakan sepasukannya sendiri, Sokratis Papastathopoulos.

Bosz, yang mula mengambil alih jawatan pengurus Dortmund sejak Jun lalu, bersedia untuk menerima semula pemain kebangsaan Perancis itu.

“Saya cuba untuk fokus kepada pemain yang berada di sini dan Dembele tiada,” kata Bosz.

“Saya tidak pasti bagaimana segalanya akan berakhir.

“Dembele adalah pemain yang baik dan bagus. Kami akan berbincang untuk merapatkannya kembali dengan pasukan (sekiranya dia kekal),” tambahnya.

Dortmund menamatkan saingan Bundesliga musim lalu di tempat ketiga, 18 mata di belakang juara, Bayern Munich.