LAZIO 0 JUVENTUS 2

Leonardo Benucci menjaringkan dua gol ketika Juventus menewaskan Lazio 2-0 di Stadio Olimpico awal pagi tadi tetapi menegaskan bahawa dia hanya mementingkan kemenangan Bianconeri tanpa mengira siapa yang menjaringkan gol.

Dua gol daripada pertahanan tengah itu bermakna dia kini merupakan penjaring terbanyak Juventus dalam Serie A musim ini dengan tiga gol -- terikat tiga gol dengan Paulo Dybala.

Bagaimanapun, ia melambangkan betapa pasukan itu sedang bergelut untuk menghasilkan jaringan, di mana mereka hanya merekodkan 18 gol daripada 13 perlawanan Serie A setakat ini.

Bonucci berkata dia tidak kisah siapa sahaja yang menjaringkan gol buat pasukan itu asalkan Juventus kembali ke landasan kemenangan memandangkan mereka kini berada di tangga ketujuh liga.

"Kami perlu memberikan segala-galanya untuk berusaha mencapai setiap objektif," kata Bonucci kepada DAZN.

"Kami mencipta beberapa situasi penting hari ini melalui penyerang seperti Alvaro Morata dalam babak pertama dan Moise Kean dalam babak kedua.

"Apa yang penting adalah membawa pulang tiga mata, tidak kira siapa yang menjaringkan gol.

"Saya percaya kami akan membawa pulang keputusan yang lebih baik dengan keazaman yang lebih besar dan kepercayaan diri sepanjang musim ini.

"Apabila anda adalah Juve dan terpaksa memulakan musim seperti kami, kritikan adalah perkara biasa dan kami perlu menerimanya tetapi kami melihatnya dengan semangat yang tinggi, kami mampu mengubahnya.

"Ia kemenangan penting memandangkan ia sentiasa sukar selepas waktu rehat antarabangsa.

"Kami kenal semangat untuk berkorban, perlawanan ini bergantung kepada kami.

"Kami melakukannya dengan amat baik untuk menyekat Lazio, tidak membenarkan mereka melakukan apa-apa dan menjaringkan dua gol," katanya.

Juventus seterusnya akan bertandang ke London untuk berdepan Chelsea di Stamford Bridge bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum menantikan kunjungan Atalanta, Sabtu depan.