SWEDEN 1 CHILE 2

Marcos Bolados bangkit dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan dalam penampilan sulungnya ketika Chile memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Sweden dalam aksi persahabatan di Friends Arena, Stockholm, awal pagi tadi.


Perlawanan itu kelihatan seperti akan berkesudahan seri tetapi pemain berusia 22 tahun itu membuat rembatan susulan daripada percubaan pertama Alexis Sanchez yang ditepis Kristoffer Nordfeldt.

Chile mendahului pada minit ke-22 hasil voli bertenaga daripada Arturo Vidal dari sebelah tepi selepas barisan pertahanan Sweden gagal mengeluarkan bola sepakan penjuru yang diambil Sanchez.

Namun, dalam tempoh seminit, Ola Toivonen menyamakan kedudukan untuk tuan rumah menerusi gerakan menarik yang turut melibatkan Viktor Claesson dan Emil Forsberg.

Percubaan penyerang Manchester United, Sanchez, kemudiana menemui jaring tetapi dinafikan kerana ofsaid sementara Sebastian Larsson juga melepaskan peluang ketika mengambil sepakan percuma dari jarak 30 meter.

Pemain gantian Chile, Nicolas Castillo, turut melakukan dua rembatan tepat ke arah Nordfeldt dalam babak kedua.

Sehingga minit terakhir, Sanchez gagal merakamkan jaringan tetapi kapten Chile itu nyata membantu dalam kemenangan pasukannya.