Nuno Espirito Santo menyifatkan bola sepak sebagai "sukan paling kejam" tetapi bersedia untuk menghadapi cabaran baru selepas dipecat Tottenham minggu lalu.

Pengurus berbangsa Portugis itu hanya dapat mengendalikan pasukan itu menghadapi 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ditamatkan perkhidmatan.

Dia yang mengikat kontak dua tahun bersama Spurs pada penghujung Jun lalu, kini digantikan oleh bekas ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte.

Bekas pengurus Wolves itu akhirnya bersuara dalam satu kiriman Instagram dan berjanji akan belajar daripada pengalaman peritnya itu.



"Wah, beberapa minggu lalu benar-benar amat sibuk," katanya dalam kiriman itu.

"Inilah bola sepak, sukan paling kejam. Hanya beberapa minggu lalu saya dinobatkan sebagai Pengurus Tebaik Bulanan dan tidak lama selepas itu, saya disingkirkan Spurs.

"Inilah kehidupan, saya akan melangkah ke depan dan mencari cabaran seterusnya.

"Saya mahu berterima kasih kepada penyokong Spurs. Sewaktu saya menyertai kelab ini, saya meletakkan visi untuk memenangi trofi tetapi segala-galanya tidak berlaku seperti yang dirancang.

"Kesemua itu memberikan kita pengajaran untuk hidup. Saya berharap dapat terus berhubung dengan anda semua dan terima kasih sekali lagi atas sokongan beterusan anda semua," katanya.

Sebagai rekod, Nuno meninggalkan pasukan itu ketika Spurs berada di tangga kelapan EPL dengan memenangi lima dan tewas lima daripada keseluruhan 10 perlawanan musim ini.