Skuad negara mahu menjadikan Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF 2022 pentas melonjak perkembangan positif sukan itu di negara ini.

Itu keazaman pengendali skuad negara, Wan Adremy Indera Wan Adnan, yang mengemudi pasukan negara dibarisi 14 pemain dalam edisi kali ini.

“Harapan sudah semestinya mahu menjadi pasukan terbaik dalam kejuaraan ini, selain perbaiki ranking skuad bola sepak pantai negara.

“Namun sejujurnya, kami mahu membuka mata semua pihak menerusi keberhasilan positif di Chonburi kali ini bagi memastikan sukan ini terus diberi peluang dan ruang berkembang di Malaysia.


“Ia juga bagi memastikan lebih banyak kejohanan bola sepak pantai dianjurkan di peringkat negeri, kelab dan universiti supaya lebih ramai pemain baharu dibentuk pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 di Chonburi, Thailand dijalankan dengan format liga satu pusingan bakal menyaksikan pasukan negara berentap dengan Thailand dan Indonesia.

Mengenai persiapan pasukan, Wan Adremy Indera berkata, pasukan itu hanya menjalani latihan intensif selama enam hari bagi mengharungi kejuaraan tersebut.

Kredit: Sinar Harian