Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran melangkah ke final Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC selepas mengatasi lawan masing-masing dalam separuh akhir di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Iran mara dengan kemenangan 8-6 ke atas Jepun dalam perlawanan sengit yang menyaksikan Jepun mendahului seawal minit kedua hasil jaringan Goto Takasuke, namun Mohammad Ahmadzadeh menyamakan kedudukan 1-1 kurang seminit kemudian.

Tandukan Akaguma Takuya (m-9) meletakkan Jepun kembali di depan sebelum Moslem Mesigar menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-11 bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Dua lagi gol terhasil pada dua minit terakhir suku pertama melalui tandukan pemain Jepun, Oba Takaaki, dan penalti pasukan Iran yang disudahkan Mohammadali Mokhtari.

Jepun mendahului 4-3 menerusi jaringan ketua pasukan, Moreira Ozu, (minit ke-13), malangnya kedudukan terus berubah seminit kemudian selepas Hassan Abdollahi menjaringkan gol keempat Iran.

100317 bola sepak pantai jepun iran 2

Iran mendahului buat kali pertama apabila Mokhtari memanfaatkan peluang di depan gol pada minit ke-23.

Bersambung suku kedua, Ahmadzadeh melebarkan kedudukan kepada 6-4 buat Iran (minit-27) sebelum Jepun merapatkan kedudukan hasil sepakan gunting Takuya, dua minit selepas itu.

Kedudukan menjadi 8-5 selepas Iran menambah dua lagi gol menerusi Seyed Ali Nazem (minit-31) dan Abdollahi (minit-33).

Takasuke menjaringkan gol keenam Jepun di penghujung permainan, namun kedudukan 8-6 berpihak kepada Iran sehingga wisel penamat.

Iran akan bertemu UAE yang terlebih dahulu menang 2-1 menerusi sepakan penalti ke atas Lubnan selepas terikat 4-4 dalam satu lagi separuh akhir.

Pemenang tempat ketiga dan keempat di antara Jepun dan Lubnan bakal mengiringi juara dan naib juara ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai di Bahamas, Mei ini.