Hasrat Malaysia untuk memulakan Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC dengan nota kemenangan tidak kesampaian selepas tewas 3-5 kepada Afghanistan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang ini.

Asakan bertali arus skuad negara pada awal permainan nyata tidak membuahkan hasil, sebaliknya Afghanistan membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Hazrat Gul Baran.

Skuad negara bangkit menyamakan kedudukan kurang seminit kemudian melalui Muhammad Qushairie Asaari.

Suku pertama berakhir dengan Afghanistan menambah gol kedua selepas ketua pasukannya, Zainuddin Sharifi, bijak menanduk masuk hantaran jauh penjaga golnya, Baktash Akbari, pada minit ke-11.

Tiada gol disaksikan pada suku kedua dan empat minit bersambung suku ketiga, Afghanistan menjarakkan kedudukan kepada 4-1 hasil dua jaringan pantas Raof Qaderi.

Muhammad Qushairie menjadikan kedudukan 2-4 untuk Malaysia, namun Qaderi mencipta hatrik dan jaringan kelima Afghanistan tidak lama selepas itu.

Dua minit sebelum tamat perlawanan, Malaysia memperoleh jaringan ketiga menerusi Mohd Khairul Nizam dan kedudukan 5-3 berpihak kepada Afghanistan kekal sehingga wisel penamat.

Meskipun tewas, ketua jurulatih negara, Ismail Zakaria, tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang disifatkannya tidak mudah nenyerah kalah.

“Pengalaman membezakan kami dan pasukan lawan menggunakan sepenuhnya kelebihan fizikal mereka.

“Saya berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan, malah kami menguasai permainan tetapi dinafikan palang gol dan penjaga gol Afghanistan.

“Aksi sulung ini diharapkan menyuntik semangat pemain-pemain untuk bangkit dan mencatat kemenangan bertemu Iran esok,” ujarnya.