Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC selepas mengalami kekalahan ketiga tumpas 5-6 kepada Bahrain di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang ini.

Bahrain terpaksa menanti sehingga minit ke-11 untuk mendahului hasil jaringan Abdulla Almalki yang menyambung hantaran Rashed Jamal.

Skuad negara pantas menyamakan kedudukan selepas Mohd Shafiq Riza Huzair berjaya merampas bola dari kaki penjaga gol lawan dan mudah menolak masuk bola ke pintu gol Bahrain.

Suku pertama berakhir dengan Bahrain mendahului 2-1 apabila Rashed menewaskan penjaga gol negara, Mohd Nazri Sulaiman.

Bahrain menjarakkan kedudukan kepada 5-1 di suku kedua melalui jaringan penjaga golnya, Sayed Mohamed Abbas (m-13), Mohamed Abdulla (m-17) dan Ayoob Naseem Salem (m-19).

Malaysia mempamerkan semangat juang untuk merapatkan kedudukan hasilnya Mohd Zaharim Mohd Yusof dan Mohamad Fakhrullah Mohamad berjaya menjadikan kedudukan 3-5 sehingga tamat suku kedua.

Bersambung suku ketiga, Mohd Khairul Nizam menghidupkan kebangkitan skuad negara selepas menjaringkan gol keempat Malaysia (m-28).

Bahrain kembali bernafas lega apabila Abdulla Abdullatif Alabdulla menjadikan kedudukan 6-4 pada minit ke-32.

Jaringan kelima Malaysia menjelma seminit sebelum tamat perlawanan menerusi gol Mohd Zaharim malangnya sudah terlambat dalam mencari gol penyamaan untuk sekurang-kurangnya mengutip mata pertama.

Skuad negara akan melengkapkan perlawanan Kumpulan A bertemu China, Rabu ini.