Jurulatih skuad bola sepak pantai negara, Ismail Zakaria, tetap memuji kesungguhan pemainnya walaupun hanya dapat merasai kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Malaysia meraih kemenangan tunggal selepas mengalahkan China 2-1 untuk menduduki tangga keempat Kumpulan A sementara Negara Tembok Besar itu menamatkan saingan di tangga kelima, tercorot tanpa sebarang mata.

"Kita masih ketinggalan dengan pasukan dari Asia Tengah," katanya. "Itu yang harus kami perbaiki.

"Janji pemain untuk meraih tiga mata dapat ditunaikan. Walaupun kami tak layak (ke separuh akhir), saya bangga dengan mereka," katanya.

Dalam perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu memimpin permainan menerusi jaringan kapten pasukan, Zaharim Mohd Yusof, pada minit ketiga.

Selepas itu, gawang China sekali lagi dibolosi pada minit ke-12 menerusi gol Mohd Fakhruddin Mohd.

China, bagaimanapun, bangkit untuk merapatkan jurang dan hampir membolosi gawang negara menerusi beberapa percubaan dalam separuh masa pertama.

Tuah China akhirnya menjelma apabila percubaan Liu Yi Si menepati sasaran pada minit ke-16

Kedua-dua pasukan kemudian saling mengasak untuk mencari pertambahan jaringan, sebaliknya kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

"Perlawanan hari ini menarik, kedua-dua pasukan bermain lebih tenang," kata jurulatih China, Ling Luhui.

"Selepas mengharungi tiga perlawanan, pemain-pemain sudah banyak menimba pengalaman meskipun kami tewas dalam empat perlawanan."