Jurulatih skuad bola sepak pantai negara, Ismail Zakaria, mahu menyaksikan kemenangan pertama pasukannya dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC apabila menentang Bahrain di Pantai Batu Buruk, Terengganu, petang ini.

Dia berkata, kecundang dalam dua perlawanan terdahulu menjadi pengajaran berguna buat Malaysia untuk menghadapi Bahrain.

Jelasnya, kemenangan pertama mampu dilakar selepas melihat Bahrain yang memiliki prestasi seimbang dengan Malaysia.

"Bahrain tidak jauh dengan kita," katanya. "Saya percaya pemain Malaysia berjiwa besar dan bersemangat tinggi. Mereka akan memberikan yang terbaik hari ini dan saya juga yakin kami dapat menewaskan Bahrain."

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd Zaharim Yusof, juga melahirkan keyakinan kemenangan pertama mampu dijelmakan dalam aksi hari ini.

Tegas Zaharim, dia bersama rakan pasukan tidak rela terus dilabel sebagai pasukan belasahan meskipun sekadar melewati persediaan selama dua minggu sebelum kejohanan itu bermula kelmarin.

"Selepas menyaksikan perlawanan pertama mereka (Bahrain) menentang China, mereka juga pasukan yang kuat. Kami akan ikut apa yang jurulatih mahukan, petang ini," katanya.

Di atas kertas, Bahrain tampak sukar dijinakkan tetapi keazaman tinggi skuad negara diharapkan mampu menjadi suntikan motivasi.

Bolos 19 gol dan menduduki tangga terakhir daripada lima pasukan dalam Kumpulan A meletakkan Ismail dalam tekanan.

Malaysia tewas 5-3 kepada Afghanistan dalam perlawanan pembukaan kelmarin, disusuli kekalahan 14-0 kepada Iran, semalam.