Iran muncul juara baharu Kejohanan Bola Sepak Pantai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mudah mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 7-2 dalam aksi final di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang ini.

Pasukan ranking kelima dunia itu mendahului 3-0 pada suku pertama hasil jaringan Moslem Mesigar (minit ke-2), Seyed Peyman Hosseini (minit ke-3) dan Mohamadali Mokhtari (minit ke-9).

Bersambung suku kedua, Mesigar menjaringkan gol keempat Iran selepas menanduk masuk lontaran jauh penjaga golnya sebelum UAE merapatkan kedudukan 2-4 menerusi gol Humaid Jamal dan Haitham Mohamed.

Amir Hosein Akbari kembali menjarakkan kedudukan dengan gol kelima Iran pada minit ke-24 dengan menyudahkan sepakan percuma pasukannya.

110317 Bola Sepak Pantai  AFC - Iran 2

UAE nyata gagal menyaingi pasukan lawan, dengan Iran menambah derita pasukan itu dengan menambah dua lagi gol melalui Sayed Ali Nezem dan Mokhtari.

Lebih manis, Mokhtari turut dijulang selaku Pemain Paling Bernilai dan Penjaring Terbanyak dengan 12 gol secara keseluruhan.

Penyampaian hadiah kemenangan disempurnakan oleh Naib Presiden AFC, Ali Kafashian.

Dalam pada itu, Jepun akan mengiringi Iran dan UAE ke Piala Dunia di Bahamas, Mei ini, selepas memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga apabila menewaskan Lubnan 6-3.