Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, berang apabila Kedah Darul Aman FC diberikan sepakan penalti pada penghujung permainan sehingga pasukannya tewas 2-3 dalam perlawanan Liga Super di Alor Setar semalam.

Pelawat mendahului 2-1 hasil jaringan Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco yang mengapit gol Fayadh Zulkifli buat Kedah.

Bagaimanapun, terdapat kontroversi dalam waktu kecederaan apabila pertahanan KL City, Gallifuoco, didakwa menolak penyerang Kedah, Rozaimi Abdul Rahman, untuk pasukan Lang Merah itu diberikan sepakan penalti yang disempurnakan Tchetche Kipre pada minit ke-93.

Tchetche kemudian membawa watak pemusnah untuk menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-96, sekali gus memaksa KL City berdepan kekalahan keempat musim ini.

"Jadi adakah ia sepakan penalti? Anda tidak tahu? Jadi saya tiada apa untuk diperkatakan kerana saya tidak mahu bercakap mengenainya," kata Hodak dalam temu bual selepas perlawanan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, gembira apabila pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk kini merekodkan kemenangan keempat daripada lima perlawanan di Alor Setar.

"Perwatakan seperti ini yang kami mahukan dalam setiap perlawanan.

"Saya fikir ia perlawanan yang sukar. Kuala Lumpur pasukan yang bagus. Mereka menekan kami sehingga penghujung permainan, jadi kami perlu mengucapkan tahniah buat Kuala Lumpur kerana beraksi baik di sini.

"Secara keseluruhan, ia perlawanan yang amat menarik, anda dapat lihat lima gol dalam satu perlawanan.

"Saya amat gembira dengan keputusan malam ini," katanya.