Jose Antonio Reyes terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya pada usia 35 tahun, umum bekas kelabnya, Sevilla.

Reyes, yang baru-baru ini mewakili Extremadura dalam saingan kedua Sepanyol, telah membuat sembilan penampilan sejak berhijrah dalam jendela perpindahan kedua musim ini.

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu digilap menerusi akademi Sevilla yang berpangkalan di bandar Utrera, beberapa kilometer di sebelah timur ibu kota Andalusia itu.

Dia mula mewakili skuad utama Sevilla sebagai pemain remaja sebelum melakukan perpindahan mewah ke Arsenal pada 2004 dan kekal selama tiga tahun.

Pemain sayap berbakat itu juga pernah menganggotai Real Madrid, Atletico Madrid dan Benfica, sebelum kembali ke kelab akademinya pada 2011 dan berkhidmat selama lima tahun.

Reyes kekal sebagai pemain termuda yang pernah mewakili Sevilla dalam kancah LaLiga ketika membuat kemunculan pada usia 16 tahun, empat bulan dan 29 hari pada Januari 2000.

Walaupun dia tidak pernah memenangi piala bersama Sevilla ketika remaja, dia kemudian memainkan peranan utama dalam tiga kejayaan Sevilla menjulang trofi Liga Europa berturut-turut di antara musim 2014 dan 2016 sebelum berkelana ke Espanyol.