Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo adalah antara bintang bola sepak yang menggunakan platform media sosial untuk mengutuk serangan pengganas di Barcelona, semalam.

Menteri Dalaman Catalonia, Joaquim Forn, mengesahkan seramai 13 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 lagi tercedera apabila sebuah van merempuh kawasan pejalan kaki di Las Ramblas -- sebuah bandar popular yang terkenal dalam kalangan pelancong.

Polis tempatan mengesahkan dua orang telah ditahan sebagai pengganas kerana mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.

Bintang Barca, Messi, merupakan antara pemain terawal yang bertindak balas apabila menyatakan menerusi Instragram: "Saya ingin menyatakan rasa simpati dan sokongan terhadap keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat dengan serangan buruk itu di Barcelona.

"Kami tidak akan berputus asa. Terdapat ramai dalam kalangan kita yang ingin hidup dalam dunia yang aman tanpa perasaan benci apabila sikap hormat dan bertolak-ansur menjadi asas untuk hidup bersama."

Rakan sepasukannya, Luis Suarez, Gerard Pique dan penyerang Real Madrid serta ketua pasukan kelab itu, Sergio Ramos, turut menyatakan simpati mereka.

"Kami terkejut insiden ini berlaku di Barcelona. Kami menyatakan sokongan dan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan mangsa," tulis Ronaldo.

Mesej sama turut disampaikan menerusi akaun Twitter kelab-kelab di Sepanyol dan serata dunia, termasuk Barca, Madrid, Atletico Madrid, Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG).

Neymar, yang meninggalkan Barca untuk menyertai PSG menerusi rekod perpindahan dunia, bulan ini, menyatakan menerusi Twitter: "Semoga tuhan menenangkan semua keluarga yang terlibat. Saya sayang Barcelona."

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol berhasrat mengadakan tafakur selama seminit sebelum sepak mula bagi perlawanan-perlawanan domestik selama beberapa minggu akan datang.