Slaven Bilic mahukan sumbangan lebih berkesan daripada pemain sayap apabila West Ham hanya mendaftar satu percubaan tepat dalam aksi seri tanpa jaringan berdepan West Brom.

Meskipun membariskan trio serangan kuat dengan Andy Caroll, Javier Hernandez dan Michail Antonio, The Hammers gagal menembusi pertahanan lawan dan Bilic mengakui pasukannya ketandusan idea ketika menyerang.

Keputusan di The Hawthorns bermakna West Ham kini hanya menang satu perlawanan dalam 11 aksi di laman lawan di samping hanya mengutip satu kemenangan dalam lima aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Bilic memuji barisan pertahanan kerana berjaya mematahkan serangan West Brom: "Ini bukan hari yang baik buat kami tetapi barisan pertahanan melakukan tugas dengan baik.

"Terutama dalam babak kedua, kami mendominasi perlawanan. Tetapi kami kekurangan kualiti dalam mengancam gawang lawan.

"Kami memerlukan salah seorang pemain sayap untuk menjalankan tugas dengan baik dalam situasi satu lawan satu."

Bilic turut bersetuju dengan keputusan pengadil, Paul Tierney, untuk tidak melayangkan kad merah kepada penjaga gol West Brom, Ben Foster, selepas melakukan terjahan terhadap Hernandez.

"Pada awalnya, saya juga menyangkakan dia sepatutnya dilayangkan kad merah tetapi selepas melihat ulang tayang, pengadil tidak harus dipersalahkan," katanya.

"Dia tidak melakukan kesalahan kerana dua faktor -- pertama, Foster bukan pemain terakhir di atas padang dan kedua, terjahan itu tidak sekeras disangkakan."