Lucas Biglia mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa selepas tersingkirnya Argentina daripada Piala Dunia Russia.

La Albiceleste tumbang 3-4 kepada Perancis dalam aksi kalah mati di Kazan tengah malam tadi biarpun mendahului 2-1 dalam babak kedua.

Pemain berusia 32 tahun itu mewakili negara sebanyak 58 kali selepas diperkenalkan pada 2011, namun khidmatnya tidak digunakan ketika berdepan Les Bleus sambil menaruh harapan untuk melihat generasi akan datang kembali melonjakkan Argentina ke puncak.

"Kami telah memberi persembahan terbaik kami sehinggalah detik 2-1," kata Biglia kepada Fox Sports.

"Inilah bola sepak, kami meninggalkan kempen ini dengan kesedihan yang besar kerana ini adalah penghujung jalan bagi sesetengah daripada kami. Saya berharap mereka yang akan meneruskan perjuangan ini dapat bekerja dalam suasana yang kurang tertekan dan meletakkan Argentina di tempat yang sepatutnya.

"Sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri. Untuk bersikap jujur ​​dengan diri sendiri, untuk memberi laluan kepada generasi baru yang sarat dengan bakat dan sudah tiba masanya untuk mereka mengambil alih," katanya.

Pengumuman Biglia hadir selepas rakan sepasukan, Javier Mascherano, mengumumkan persaraannya daripada pasukan kebangsaan.