Marcelo Bielsa berkata masa depannya bersama Leeds United "telah diselesaikan" menjelang perlawanan pembukaan musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United malam esok.

Pengurus berusia 66 tahun itu telah menghabiskan tempoh tiga tahun lalu di Elland Road dan membawa Leeds menduduki tangga kesembilan liga divisyen utama itu musim lalu selepas layak menyertainya dalam kempen sebelum itu.

Bielsa melanjutkan kontrak setahun sebelum musim 2020-21 dan kini kelihatan akan melanjutkannya selama 12 bulan lagi.

Bercakap dalam sidang media menjelang kunjungan ke Old Trafford malam esok, Bielsa berkata: "Situasi mengenai kontrak itu merupakan sesuatu yang telah diselesaikan. Perkara itu telah selesai."

Ditanya mengenai tempoh kesepakatan baru itu, Bielsa, menerusi jurubahasanya, membalas: "Kebiasaannya setahun."