Malaysia perlu mempunyai garis panduan yang jelas membabitkan Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia jika mahu membida penganjuran Piala Dunia 2034 bersama negara-negara ASEAN yang lain.

Persoalan mengenai pendirian Malaysia yang menolak sebarang kerjasama dengan individu dari Israel dalam semua aspek timbul kerana Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pernah membatalkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak yang sepatutnya diadakan bulan depan selepas Malaysia tidak meluluskan visa untuk atlet dan pegawai dari negara itu.

Pemerhati sukan negara, Dr. Mohammad Faithal Hassan, melihat perkara itu perlu dibincangkan dengan mendalam di antara kerajaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mencapai kata sepakat.

"Antara perkara yang mungkin perlu difikirkan oleh kementerian dan kerajaan dalam sama-sama menganjurkan Piala Dunia adalah sejauh mana kita boleh mengendurkan peraturan untuk menghalang atlet-atlet dari negara seperti Israel untuk memasuki Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau juga mempunyai pandangan tersendiri tentang kelebihan negara-negara ASEAN yang pernah menganjurkan sukan berperingkat antarabangsa.

"Namun, saya pasti kerajaan mempunyai cara yang lebih baik agar dalam masa sama, peraturan itu dapat dikecualikan untuk Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia. Saya tidak mahu dasar-dasar sedemikian menghalang Malaysia untuk menjadi penganjur."

Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak mendiskriminasi mana-mana negara demi memupuk semangat kesukanan.