Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membidas tuntutan dua bulan gaji yang dibuat bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya, sebaliknya meminta pemain itu melihat semula kontrak yang telah ditandatanganinya.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata mengikut kontrak tersebut, KRW Sdn. Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn. Bhd akan membayar gaji pemain Kelantan United FC itu.

“Bagi saya, Piya tidak boleh menuduh dan meletakkan semua kesalahan itu di atas bahu KAFA semata-mata.

“Apabila KRW tidak boleh bayar gajinya, MyInspiration sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu tersebut kerana perjanjian dibuat di antara mereka berdua.

"Namun, hakikat sebenarnya, KAFA sendiri tidak terlibat dalam usaha membawa masuk semula pemain itu ke dalam pasukan Kelantan," katanya ketika mengulas tuduhan Piya ke atas persatuan itu yang enggan mengeluarkan surat pelepasan atau Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Bibi Ramjani juga menasihatkan Piya supaya merujuk isu itu kepada mereka yang lebih arif dalam aspek perundangan.

“Jangan sesekali cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap nama baik KAFA.

"Untuk makluman anda (media), dalam penjanjian itu terdapat klausa tambahan supaya KAFA tidak terbeban dengan tunggakan dan risiko apabila pemain tersebut kembali bersama Kelantan," katanya.

Untuk rekod, Piya menganggap tindakan KAFA sebagai "zalim" apabila mahukan dia melupakan tunggakan gaji yang dituntut jika mahu mendapatkan SPN yang membolehkannya beraksi bersama Kelantan United FC yang bersaing dalam Liga M3.