Selepas undian kedua, Bibi Ramjani IIias Khan mencipta sejarah apabila dipilih secara rasmi sebagai presiden baru Persatuan Bola Sepak Kelantan ( KAFA) setelah mengetepikan naib presiden, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, dalam kongres pemilihan kali ke-63 persatuan itu di Kota Bharu, sebentar tadi.

Bibi Ramjani yang juga Pengurus Desa Murni Batik, Kota Bharu, mendapat 32 undi, jauh meninggalkan Nasir yang mendapat 16 undi untuk ditabalkan sebagai presiden bagi sesi 2017 -2021.

Datuk Seri Afandi Hamzah mengekalkan jawatan timbalan presiden apabila mengalahkan Datuk Rosmadi Ismail dengan kelebihan tujuh undi. Afandi mendapat 29 undi manakala Rosmadi, 22 undi.

Jawatan naib presiden pula menyaksikan tiga muka baharu terpilih, iaitu Datuk Aizuddin Mohd. Ghazali, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Terdahulu, jawatan tersebut menyaksikan kejutan terbesar apabila orang lama, Azman Ibrahim dan Datuk Mohd. Rosdi Abd Aziz, mengumumkan menarik diri.

Sementara itu, jawatan Ahli Eksekutif KAFA menyaksikan Datuk Mohd. Rowi Dollah menang besar dengan 51 undi, diikuti Wan Rakemi Wan Zahari (42), Nubli Ab. Latiff (40), Datuk Shaari Mat Husin (37), Zulkifli Omar (37), Akmal Ahmad Tabarani (33), Mohamad Ausri Husin (29), Azrul Mohd. Zawawi (28), Mohamed Fareez Nor Amran (26) dan Datuk Azman Ismail.