Pierre-Emerick Aubameyang menaruh harapan tinggi untuk melihat Ousmane Dembele memeterai perjanjian baru bagi mengekalkannya di Barcelona.

Dembele memasuki beberapa minggu terakhir kontraknya dan dikhabarkan sedia menyertai kelab lain sebagai ejen bebas.

Pemain antarabangsa Perancis itu diberitahu secara terbuka supaya meninggalkan Barca dalam jendela perpindahan Januari lalu berikutan perbincangan mengenai kontrak barunya menemui jalan buntu.

Walaupun diketepikan pada awalnya, Dembele menjadi antara tujang kebangkitan The Blaugrana sejak mula tersenarai empat bulan lalu.

Malah, selepas mencipta dua gerakan gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo, awal pagi tadi, Dembele kini menghasilkan bantuan jaringan tertinggi LaLiga musim ini iaitu 13 gol.

11 umpanan jaringan yang diciptanya terhasil pada tahun ini sahaja untuk mengatasi bekas rakan sepasukan, Lionel Messi, sebagai perancang terbaik dalam lima saingan utama Eropah pada 2022.





Aubameyang, yang memanfaatkan satu lagi lorongannya ketika menentang Celta, mengambil kesempatan ini merayu kepada Dembele agar meneruskan kerjasama mereka yang terjalin sejak di Borussia Dortmund kekal di Camp Nou.

"Dia bagaikan adik saya," katanya kepada Movistar+.

“Kami sudah lama bersama, sejak hari pertama dia tiba di Dortmund lagi.

“Lama-kelamaan kami telah membina hubungan seperti adik-beradik ini. Sebab itu saya sangat sayangkan dia.

"Dia beraksi dengan sangat baik sekarang dan saya sangat gembira bagi pihaknya.

"Dengan sepenuh hati saya harap akan dia kekal."