Sedih, pedih dan sakit. Itu perasaan ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, selepas pasukannya tewas lagi, dengan yang terbaru kekalahan 0-2 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di Shah Alam semalam.

Setakat enam perlawanan musim ini, pasukan institut pengajian tinggi itu hanya meraih satu mata hasil satu keputusan seri selain lima kekalahan..

Mereka juga hanya merekodkan satu gol selain dibolosi sebanyak 10 kali untuk terus terperangkap di dasar liga.

Keadaan itu jelas memeningkan kepala pengendali dari Jerman itu dalam mengubah nasib pasukan kendaliannya.

"Ia masalah besar dan menyakitkan daripada segi prestasi. Kami berdepan masalah kecederaan minggu ini dan terdapat juga pemain yang cedera di atas padang.

"Kami perlu mengelak daripada dibolosi kerana gol yang kami lepaskan adalah disebabkan kesilapan kami sendiri.

"Ia bukan disebabkan pasukan lawan lebih kuat. Jika kami menentang pasukan seperti JDT (Johor Darul Ta'zim), kami perlu menerima hakikat itu tetapi (hari ini) kami melakukan kesilapan kecil dan dibolosi, di mana ia tidak sepatutnya berlaku.

"Ada pemain yang boleh mengeluarkan bola tetapi dia memilih untuk melakukan hantaran.

"Saya sudah katakan kepada mereka, pada ketika ini, kami tidak boleh bermain cantik, kami perlu bermain dengan selamat," katanya.

Dalam aksi di Stadium UiTM itu, dua pemain import Selangor, Oliver Buff dan Ifedayo Olusegun, menemui sasaran dalam babak pertama, masing-masing pada minit ke-13 dan 40.