Penjaga gol Jerman, Bernd Leno, memilih untuk keluar Arsenal dengan menyertai seteru London, Fulham, dalam satu langkah yang boleh menghidupkan semula prospek ke Piala Dunia Qatar, hujung tahun ini.

Pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan melengkapkan perpindahan berkenaan menerusi perjanjian sebanyak £8 juta (RM43.4j) berikutan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama The Gunners kepada Aaron Ramsdale musim lalu.

Dia menyertai Fulham, yang kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi tambahan terbaru dalam skuad kendalian Marco Silva itu menjelang musim baru yang membuka tirai hujung minggu ini.

Fulham bakal menjadi tuan rumah kepada naib juara musim lalu, Liverpool, di Craven Cottage Sabtu ini.

Leno, yang tidak terpilih membarisi skuad Jerman dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dua bulan lalu, memenangi sembilan penampilan untuk negaranya berikutan sentiasa dibayangi bintang Bayern Munich, Manuel Neuer.



Rekrut baru itu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Fulham dan memberitahu saluran FFCtv kelab: "Rasanya memang menakjubkan apabila akhirnya berada di sini. Saya tidak sabar-sabar lagi menyertai pasukan, untuk berlatih dan bermain di samping pasukan.

"Saya lega kerana segalanya sudah selesai. Saya hanya gembira berada di sini.

"Ia memakan masa sedikit tetapi akhirnya kami berjaya melakukannya, itulah perkara yang paling penting."