Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, yakin bahawa Bernardo Silva akan kekal di kelab itu, walaupun dia berikrar tidak akan mengekalkan mana-mana pemain yang tidak berpuas hati.

Pemain antarabangsa Portugal, Silva telah banyak dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona selepas berkhidmat selama lima tahun di Stadium Etihad, dengan Xavi berminat untuk mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu.

Silva dikatakan telah menyatakan hasratnya mahu meninggalkan City tahun lalu, tetapi bekas perancang Monaco itu kekal dan memainkan peranan penting ketika pasukan kendalian Guardiola memenangi Liga Perdana Inggeris (English Premier League) buat kali keempat dalam lima musim.

Bagaimanapun, Guardiola telah mencurahkan air dingin mengenai spekulasi bahawa Silva akan berpindah sebelum permulaan musim 2022-23 apabila bercakap berikutan pengumuman perlawanan persahabatan pramusim City menentang bekas kelabnya, Barca.

“Saya rasa Bernardo Silva akan kekal bersama kami, itulah perasaan saya setakat hari ini,” katanya pada sidang akhbar.


“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada jendela perpindahan dan kami selalu mengatakan bahawa kami mahu pemain yang mahu berada dalam kelab kami.

"Tetapi kami sangat menghargai Bernardo dan mengharapkannya untuk musim depan."

City sudah pun membawa masuk Erling Haaland pada jendela perpindahan ini, sementara mereka dilaporkan mahu mendapatkan pemain pertahanan kiri Brighton and Hove Albion, Marc Cucurella dan pemain tengah Leeds United, Kalvin Phillips.

Bagaimanapun, Raheem Sterling dan Gabriel Jesus kedua-duanya dilaporkan berminat untuk berhijrah, dengan Chelsea dan Arsenal antara ynag memburu khidmat masing-masing.