Di sebalik masalah yang melanda Johor Darul Ta'zim (JDT), jurulatih Sabah, Jelius Ating, tetap menghormati pasukan berkenaan sebagai salah satu skuad terbaik di Malaysia ketika ini.

Pengendali berusia 47 tahun itu juga tidak menganggap ia satu kelebihan buat pasukannya apabila melayan kunjungan skuad Harimau Selatan itu dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, Sabtu ini.

"Memang akhir-akhir ini kita banyak mendengar mengenai JDT... ketua jurulatih mereka meletak jawatan, pemain import keluar daripada pasukan, jurulatih kecergasan dipecat dan mereka juga baru selesai perlawanan Piala AFC di Vietnam, malam tadi.

"Bagaimanapun, ia bukan satu kelebihan buat kami kerana mereka masih antara pasukan terbaik di Malaysia, mereka memiliki ramai pemain berkualiti, termasuklah yang bukan dalam kesebelasan utama.

"Bagaimanapun, saya juga mahu pemain mengambil peluang ini dengan bermain bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata walaupun dianggap 'underdog', Sabah akan cuba untuk memenangi perlawanan itu, lebih-lebih lagi mereka bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

"Kita tahu JDT sebuah pasukan yang baik, memiliki pengurusan dan kewangan yang baik. Namun, dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku, di luar negara kelab yang kuat pun mampu dikecewakan pasukan kerdil," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata persiapan pasukannya untuk menghadapi perlawanan itu berjalan lancar dengan kesemua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan.

"Kami telah mengatur beberapa strategi untuk perlawanan itu, termasuk untuk menghadapi kemungkinan perlawanan berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti," katanya.