Jerman perlu memberi peluang kepada Manuel Neuer beraksi dalam Piala Dunia, gesa bekas penjaga gol kebangsaan, Jens Lehmann.

Musim 2017-18 Neuer dicemari dengan kecederaan selepas penjaga gol Bayern Munich itu mengalami kecederaan pada September lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang merupakan antara kunci kejayaan Jerman di Brazil empat tahun lalu, telah lama direhatkan walaupun sudah mula turun menjalani latihan.

Lehman, yang telah beraksi untuk skuad kebangsaan sebanyak 61 kali, berharap untuk melihat Neuer di Russia tetapi mahu dia membuktikan kecergasannya dalam aksi final DFB-Pokal berdepan Eintracht Frankfurt, minggu depan.

"Anda perlu menunggu Neuer selama yang mungkin," katanya.

"Jika dia mampu beraksi dalam final berdepan Frankfurt dan dua ujian di peringkat antarabangsa, ia sudah memadai.

"Tetapi dia perlu beraksi dalam perlawanan berdepan Austria dan Arab Saudi, jika tidak dia mungkin diketepikan untuk Piala Dunia," katanya.

Lehmann juga menolak cadangan Neuer direhatkan bagi aksi peringkat kumpulan -- di mana skuad kendalian Joachim Low akan berdepan Mexico, Sweden dan Korea Selatan -– sebelum beraksi di peringkat kalah mati.

"Jika dia beraksi di peringkat kalah mati, kita akan dapat menyaksikan separuh daripada tahap terbaiknya. Ia tidak mencukupi," tambah Lehmann.