Bergson Da Silva akan menjadi ancaman paling bahaya daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), terutama jika Sri Pahang kehilangan fokus ketika bertahan, kata pemain tengah skuad Tok Gajah itu, Lee Tuck, menjelang perlawanan Liga Super di Kuantan malam esok.

Setakat lapan perlawanan musim ini, Bergson sudah menjaringkan lapan gol bagi menduduki tangga teratas senarai penjaring terbanyak.

Bagaimanapun, JDT juga mempunyai pemain lain yang mampu memberikan ancaman seperti Leandro Velazquez dan Arif Aiman Hanapi.

"Dia (Bergson) bermula dengan baik. Mereka mempunyai kualiti bukan sekadar 11 pemain dalam skuad. Pasukan mereka berkembang menjadi semakin kuat," katanya kepada Nadi Arena.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya sudah banyak kali bertemu mereka.

"Dengan kualiti yang mereka ada, kami perlu bertahan dengan baik dan melakukan serangan balas dengan amat baik. Kami perlu bergerak dengan amat pantas ketika mendapat bola dan mencuba melakukan serangan balas," katanya.

Buat ketika ini, Sri Pahang berada dalam keadaan sukar di tangga kedua tercorot dan terperangkap dalam zon relegasi.

Dengan itu, tiga mata pada malam esok akan menjadi amat berharga untuk mereka kekal berada dalam kelompok elit Liga Malaysia musim depan.

"Kami melakukan beberapa perubahan, sebahagian pemain import tidak bermain dalam setiap perlawanan. Kami mempunyai beberapa pemain tempatan untuk tampil untuk mengisi kekosongan itu.

"Semua orang perlu melibatkan diri dengan pasukan tetapi dalam beberapa perlawanan lalu, anda dapat lihat bahawa kami beraksi dengan amat baik tetapi 90 minit masih belum cukup untuk kami menang.

"Semua orang, secara individu, kini perlu menggalas tanggungjawab dan secara kolektifnya, kami perlu mendapatkan lebih mata," katanya lagi.