Legenda Arsenal, Dennis Bergkamp tidak berselindung dengan rasa bimbang betapa ‘DNA Juara’ Arsenal makin hari, makin terhakis.

Pemain hebat kelahiran Belanda itu – yang menjulang Arsenal selaku antara kelab digeruni bersama-sama bintang lain seperti Thiery Henry dan Patrick Viera – menyifatkan prestasi terumbang ambing ketika ini sebagai membimbangkan.

"Cita-cita untuk sentiasa memenangi gelaran utama ada memang DNA Arsenal. Kami tidak pernah akur dengan kekalahan. Mentaliti itu bagaimanapun kini perlahan-lahan hilang.

"Saya berasakan mereka (pasukan) semakin mundur berdasarkan situasi sekarang. Ini soal serius. Seolah-olah dengan sokongan kewangan yang ada, adalah normal bagi Arsenal untuk berakhir di pertengahan saingan.

"Itu tidak seharusnya berlaku. DNA Arsenal perlu dikembalikan,” tegasnya.

Bergkamp, bersama-sama Viera dan Henry, menyokong niat pemilik Spotify yang juga jutawan Sweden, Daniel Ek, untuk membeli pegangan saham majoriti daripada pemilik Arsenal, Stan Kroenke.

Namun usaha Ek, yang mengakui meminati Arsenal sejak berusia lapan tahun, belum kesampaian kerana tawarannya ditolak Kroenke.

Ek enggan berputus asa meyakinkan Kroenke untuk menjual sahamnya dan Bergkamp akur ia akan menjadi proses yang panjang.

"Kita tidak boleh memaksa sesiapa untuk menjual (saham mereka). Saya faham," katanya kepada Voetbal International.

"Selain tawaran itu, Daniel telah dua kali menghubungi Josh Kroenke dan pegawai banknya.

"Apa pun niat Kroenke, adalah lebih baik jika kami dapat sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan di antara satu sama lain demi kepentingan kelab.

"Daniel tidak akan berhenti berusaha dan kami adalah kumpulan yang terbabit secara langsung dengan bola sepak. Kami tidak akan berganjak. Perkara yang tidak masuk akal adalah kita tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan pemain ketika ini,” kata Bergkamp.

Elegant, intelligent and the craftsman behind one of the most beautiful Premier League goals ever scored

?⚪️ Dennis Bergkamp is inducted to the #PLHallOfFame pic.twitter.com/5Q6OftmoRQ

— Premier League (@premierleague) May 19, 2021
Sejak keluarga Kroenke menguasai pemilikan Arsenal pada April 2011, satu-satunya kejayaan trofi utama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah empat kejayaan Piala FA.

Penamat liga terbaik mereka adalah di tempat kedua pada 2015-16, tetapi sejak itu mereka gagal menduduki tangga empat teratas dan mungkin mengharungi musim depan tanpa saingan Eropah buat pertama kalinya dalam tempoh 26 tahun.

Peminat Arsenal diwar-warkan akan melancarkan protes ketika mereka menjadi tuan rumah kepada Brighton & Hove Albion, Bergkamp memahami kekecewaan mereka.

"Kami pernah beraksi untuk Arsenal dalam pemburuan kejuaraan. Kami tahu bagaimana perasaan peminat. Kami sudah mengadakan pertemuan dengan delegasi penyokong.

"Kami berasakan semakin ramai yang bersemangat dalam kalangan mereka. Itu sangat memberangsangkan,” kata bekas bintang yang memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama kelab London tersebut termasuk ketika mengharungi musim tanpa kalah pada 2003-04.

Kekayaan peribadi Ek dipercayai bernilai sekitar £3.4 bilion (RM19.9b), justeru dia berkemampuan untuk menguasai saham sekiranya Kroenke mengundurkan diri."