Bekas pertahanan, Jamie Carragher, berkata England perlu melupakan lawan yang menanti mereka dalam saingan peringkat kalah mati Piala Dunia dan memberikan tumpuan kepada aksi berdepan Belgium.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu memastikan slot 16 terbaik selepas menewaskan Panama 6-1 di Nizhny Novgorod, semalam.

Kapten pasukan, Harry Kane, meledak hatrik untuk berada dalam persaingan merebut kasut emas selepas menjaringkan dua gol ketika membantu England menewaskan Tunisia 2-1.

England bakal mengakhiri saingan Kumpulan G berdepan Belgium pada Khamis ini -- hanya kemenangan bakal menentukan juara kumpulan.

Carragher -- yang beraksi bersama skuad England dalam Piala Dunia 2006 dan 2010 -- percaya aksi ini menjadi medan terbaik untuk membuktikan kebolehan mereka.

"Ini akan menjadi satu raptai sempurna buat England," katanya.

"Jika kami mengakhiri saingan di bawah Belgium, ia akan membantu pasukan mengelak Brazil dan Jerman dalam pusingan suku akhir.

"Tetapi ia bukanlah sasaran utama England bagi menamatkan saingan di tempat kedua -- masih ingat apa yang berlaku dua tahun lalu ketika bertemu Iceland?

"England perlu berusaha untuk menang ke atas Belgium. Saya mahu melihat England menampilkan mentaliti yang positif sebagai persiapan mereka dalam saingan pusingan seterusnya," katanya.

England berkemungkinan akan berdepan Colombia, Jepun atau Senegal dalam pusingan seterusnya, dengan Jerman dan Brazil menjadi halangan dalam pusingan suku akhir.