Karim Benzema tidak membiarkan ejekan penyokong Real Madrid melemahkannya sambil mengatakan "orang selalu mengkritik pemain hebat".

Benzema, yang mengharungi musim sukar dengan Madrid, hanya menjaringkan lima gol dalam 26 penampilan LaLiga.

Ia kelihatan lebih buruk Isnin lalu apabila pemain tengah bertahan, Casemiro, menyamai koleksi gol Benzema sekalipun kurang bermain berbanding penyerang Perancis itu.

Habuan daripada prestasi kurang baik itu, Benzema terpaksa berdepan dengan sekumpulan penyokong Madrid yang mengkritiknya.

Tetapi dia cuba tidak memberi tumpuan kepada mereka, sebaliknya yakin bahawa dia masih merupakan pemain penting dalam skuad Zinedine Zidane itu.

"Saya bermain bola sepak, cuba membantu rakan sepasukan saya dan memenangi segala yang perlu," kata Benzema kepada Vanity Fair.

"Apa yang saya tidak suka adalah apabila orang menyerang ketika saya bermain dengan baik walaupun saya tidak menjaringkan gol. Saya bermain untuk orang yang menghargai apa yang saya lakukan di padang.

"Mereka datang ke stadium untuk mengejek, biarkan mereka mengejek. Saya tidak akan mengubah pendapat mereka.

"Orang selalu mengkritik pemain hebat. Kami (pemain bola sepak) menjual akhbar. Saya tidak perlu membaca akhbar untuk tahu bila saya bermain buruk," katanya.

Presiden Madrid, Florentino Perez, membantu membuatkan tempoh sukar lebih senang untuk Benzema, yang mengatakan dia mempunyai hubungan rapat dengan individu berusia 71 tahun itu.

"Ia adalah impian untuk bertemu dengan seseorang sepertinya," kata Benzema. "Dia sangat tenang dan sangat mesra.

"Dia bertanya kepada saya jika saya mahu bermain untuk Real Madrid dan saya katakan ya. Saya beri keputusan saya, dan itulah sentiasa cara kami.

"Dia berada di belakang saya pada masa yang baik dan buruk. Dia adalah presiden kelab, tetapi bagi saya, dia juga seperti ahli keluarga saya. Itu yang saya rasa," ujarnya.