Benzema tidak pernah terbayang dalam kelompok lima penjaring terbanyak Madrid

Muzaffar Musa
Jun 19, 2020 03:45 MYT
Karim Benzema tidak pernah terbayang bahawa dia akan berada dalam kalangan lima penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Real Madrid selepas mengatasi rekod Ferenc Puskas awal pagi tadi.
Penyerang berbangsa Perancis itu menghasilkan dua gol yang membantu pasukannya menewaskan Valencia 3-0 untuk kembali merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona.
Benzema mengatasi Puskas (242 gol) bagi menduduki tangga kelima senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid dengan 243 gol untuk berada di belakang Cristiano Ronaldo (451), Raul (323), Alfredo Di Stefani (308) dan Santillana (290).
Pemain yang tiba daripada Lyon pada 2009 itu berasa gembira dengan pencapaiannya.
"Saya tidak pernah terbayangkan sesuatu seperti ini, saya amat gembira. Saya sudah berusaha sejak sekian lama dan sentiasa bekerja keras untuk meningkat," katanya dalam laman web rasmi pasukan itu.
"Saya harap dapat meneruskannya. Saya amat gembira untuk bermain di kelab ini."
Jaringan kedua Benzema tercipta dengan gaya yang amat menakjubkan, di mana dia mengawal baik hantaran Marco Asensio sebelum melepaskan voli kencang yang melepasi kawalan penjaga gol Valencia, Jesper Cillessen.

⚽️?✌️ @Benzema doing Benzema things.#HalaMadrid | #RMLiga pic.twitter.com/1F76aq3p3x

— Real Madrid C.F. ???? (@realmadriden) June 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pemain berusia 32 tahun itu berkata segala-galanya bergerak dengan amat pantas ketika dia menjadikan kedudukan 3-0 sebelum pemain Valencia, Lee Kang-in dibuang padang.
"Ia bukan perlawanan yang mudah kerana pihak lawan menjadikannya sukar tetapi kami menang dan tidak bolos.
"Ia amat penting kerana Valencia pasukan yang amat bagus. Untuk gol kedua itu, segala-galanya berlaku dengan amat pantas.
"Ia satu hantaran lintang daripada Marco, saya mengawalnya, saya merembat dengan kaki kiri dan ia masuk.
"Ia kelihatan mudah tetapi anda perlu melakukannya dengan amat pantas," katanya.
Benzema menjaringkan 21 gol daripada 38 perlawanan musim ini dengan Madrid akan bertemu Real Sociedad hujung minggu ini.
#Real Madrid #Karim Benzema #Valencia #LaLiga