Karim Benzema berkata dia terganggu dengan kritikan terhadap dirinya, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo, dengan menyifatkan trio 'BBC' itu adalah lebih daripada menjaringkan gol.

Benzema, Bale dan Ronaldo gagal meledak sebarang gol ketika Real mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) ketika menewaskan Napoli 3-1.

Bintang Real itu dihamburkan dengan kritikan sejak awal musim lagi, sesuatu yang menjengkelkan penyerang kebangsaan Perancis, Benzema.

"Ya, ia amat mengganggu kami. Kami bukan hanya menjaringkan gol, kami bekerja keras untuk keseluruhan pasukan ini," katanya.

"Ketika kami menghadapi perlawanan yang sukar, kami bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan."

Pemenang Ballon d'Or empat kali dan penjaring terbanyak Real, Ronaldo, telah merakamkan 25 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Benzema telah menjaringkan 15 gol manakala Bale sudah mencetak sembilan gol sepanjang musim 2016-17.

Soalan yang sama ditanyakan kepada pertahanan Real, Marcelo, dan pemain kebangsaan Brazil itu berkata: "Kritikan tersebut hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri."