Karim Benzema akan kekal di Real Madrid sehingga penghujung musim 2022-23 selepas pemain tonggak itu bersetuju untuk melanjutkan tempoh setahun dalam kontraknya.

Pasukan gergasi Sepanyol itu terus dikaitkan untuk mendapatkan Kylian Mbappe dan Erling Haaland tetapi mereka memastikan Benzema akan ada untuk memberikan bantuan seandainya mana-mana penyerang baru tiba di pasukan itu.

Kesepakatan baru buat pemain berusia 33 tahun itu diumumkan semalam dan ia membuktikan kesetiaan pemain kebangsaan Perancis berkenaan sejak tiba di pasukan itu daripada Lyon pada 2009.

Ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, berasakan Benzema telah membuktikan nilainya buat pasukan itu dengan menjaringkan dua gol ketika menewaskan Deportivo Alaves 4-1 dalam perlawanan pembukaan LaLiga hujung minggu lalu.

Nilai itu mula terlihat semakin jelas selepas Cristiano Ronaldo memilih untuk meninggalkan pasukan itu bagi menyertai Juventus pada Julai 2018.

Sejak perpindahan itu, Benzema telah menjaringkan 89 gol daripada 148 perlawanan buat Madrid. Hanya empat pemain dalam lima liga utama Eropah dapat menjaringkan lebih banyak gol sepanjang tempoh itu, iaitu Robert Lewandowski, Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Ronaldo.

Tanpa mengira gol penalti, Benzema telah mengatasi jumlah jaringan Ronaldo sepanjang tempoh itu dengan 80 gol yang dihasilkannya manakala bekas rakan sepasukannya itu pula dengan 72 jaringan buat Juve.