REAL MADRID 5 CELTA VIGO 2

Karim Benzema memuji pretasi yang dipamerkan Vinicius Junior sewaktu Real Madrid membelasah Celta Vigo 5-2 awal pagi tadi dengan melabel pemain Brazil itu sebagai satu fenomena.

Benzema sudah pasti dilihat sebagai bintang paling menyerlah dalam perlawanan itu, di mana pemain kebangsaan Perancis itu mencipta hatrik selain satu bantuan gol.

Bagaimanapun, Vinicius terbukti pemain penting buat Madrid selepas dia menjaringkan satu gol yang dicetuskan Benzema dan meraih sepakan penalti untuk penyerang Perancis itu merekodkan hatrik pertamanya sejak April 2019.

Jaringannya dalam pertemuan kali ini menyaksikan Vinicius telah mengumpulkan empat gol musim ini, sekali gus menjadi rekod terbaiknya sepanjang kempen bersama Madrid dan di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak di belakang Benzema (lima gol).



Selepas kerap mempamerkan aksi mengecewakan sebelum ini, pemain muda berusia 21 tahun itu meningkat dengan mendadak dan Benzema gembira dengan perkembangan rakan sepasukannya itu.

"Vinicius satu fenomena. Saya benar-benar gembira bermain bersamanya," kata Benzema kepada Movistar.

"Dia masih muda dan saya banyak bercakap dengannya, memberikannya saranan kerana saya tahu apa yang sedang dilaluinya.

"Tetapi dia banyak membantu kami. Dia pemain yang hebat dan telah menunjukkan bahawa dia boleh bermain untuk Real Madrid," katanya.