LAS PALMAS 0 REALMADRID 3

Karim Benzema menjaringkan gol dalam penampilan ke-400 buat Real Madrid dan Gareth Bale meledak dua gol sebagai persiapan mereka menghadapi Juventus dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) ketika menewaskan Las Palmas 3-0.


Cristiano Ronaldo, Toni Kroos dan Marcelo direhatkan oleh Zinedine Zidane yang meletakkan sasaran untuk aksi UCL di Turin tetapi Real tidak menunjukkan mereka kehilangan taring ketika menghadapi aksi LaLiga di Estadio de Gran Canaria, semalam.

Bale meletakkan Real di depan pada minit ke-26 selepas menyempurnakan hantaran Luka Modric untuk menewaskan penjaga gol, Leandro Chichizola.

Benzema kemudian menyempurnakan sepakan penalti selepas Jonathan Calleri menjatuhkan Lucas Vazquez dalam kotak penalti dan Bale menjaringkan gol ke-10 buat tahun 2018 dalam semua kejohanan.

Ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut Real dan kini ketinggalan satu mata kepada penghuni tangga kedua, Atletico Madrid, yang menerima kunjungan Deportivo La Coruna, hari ini.