Kapten Real Madrid, Karim Benzema, akan berehat buat kali pertama musim ini selepas tidak disenaraikan dalam kunjungan ke laman Elche bagi perlawanan LaLiga malam ini.

Berdasarkan laporan media-media di Sepanyol, Benzema direhatkan kerana telah beraksi dalam setiap perlawanan Madrid musim ini.

Penyerang Perancis berusia 33 tahun itu telah beraksi selama 1,158 minit dan menjaringkan 11 gol daripada 13 perlawanan dalam kesemua kejohanan setakat ini.

Benzema turut mendaftarkan lapan bantuan jaringan buat Madrid bagi musim 2021-22, lebih lima berbanding yang dilakukan pemain-pemain lain dalam pasukan itu.

Dia kini mendahului carta penjaring terbanyak LaLiga dengan sembilan gol selepas 10 perlawanan tetapi ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, kelihatan yakin untuk memberikan penggempur utamanya itu waktu rehat istimewa dan Madrid mampu meneruskan aksi cemerlang tanpa Benzema.



Akhbar Sepanyol, Marca, melaporkan dalam laman web mereka bahawa Benzema mengalami kelesuan dalam beberapa perlawanan lalu dan Ancelotti berasakan ia merupakan waktu yang sesuai untuk merehatkan bintang utamanya itu.

Sebagai rekod, Benzema tidak dapat menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan terakhir Madrid, di mana mereka menewaskan Barcelona 2-1 dalam pertembungan Clasico dan terikat tanpa jaringan dengan Osasuna.

Ketiadaan Benzema kelihatan akan membuka peluang buat Vinicius Junior untuk memburu jaringan ketujuhnya musim ini selepas pemain Brazil berusia 21 tahun itu merekodkan purata satu gol bagi setiap 144.29 minit permainan.