Pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy, dibebaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Diraja Chester malam tadi.

Pemain kebangsaan Perancis itu, yang didakwa dengan tujuh pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual, telah berada dalam tahanan sejak Ogos lalu.

Mendy didakwa melakukan serangan ke atas lima wanita dari Oktober 2020 hingga Ogos 2021.

Pemain berusia 27 tahun itu dibenarkan untuk diikat jamin dalam satu sesi pendengaran semalam.

Dia sepatutnya menghadapi perbicaraan pada bulan ini tetapi ia ditunda seawal-awalnya pada Jun depan.

Mendy dilaporkan telah dipindahkan dari penjara HMP Altcourse di Liverpool ke penjara Strangeways di Manchester bulan lalu.

Defendan bersama, Louis Saha Matturie, turut hadir dalam sesi pendengaran di Chester itu.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris, City, telah menggantung Mendy selepas dia didakwa pada Ogos lalu.