EVERTON 3 BURNLEY 1

Pengurus Everton, Rafael Benitez, mendedahkan bahawa Dominic Calvert-Lewin akan diketepikan lebih daripada dua atau tiga minggu selepas tidak dapat diturunkan ketika pasukannya menewaskan Burnley 3-1 awal pagi tadi gara-gara kecederaan kaki dan otot paha.

Pemain kebangsaan England berusia 24 tahun itu menemui sasaran buat Everton sepanjang tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama musim tetapi tidak dapat disenaraikan menentang The Clarets.

Calvert-Lewin telah bermain dalam keadaan kesakitan sebelum ini dan Benitez mendedahkan kecederaan itu sudah semakin memburuk dan pemain itu perlu berehat selama beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya.

"Ia mungkin mengambil masa lebih lama, kakinya patah, kemudian dia bermain dengan bantuan suntikan, dengan kesakitan, ia bukan mudah untuknya," kata Benitez.

"Dia tidak berlatih dengan pemain lain dan itu adalah puncanya, saya tertanya bagaimana dia boleh mendapat kecederaan itu.

"Bagi saya, ia akan mengambil masa lebih daripada dua atau tiga minggu."

Kemenangan ke atas Burnley meletakkan Everton di tangga keempat liga dan menjadi salah satu daripada lima pasukan yang masih belum tewas.

Pasukan bimbingan Benitez itu bangkit daripada ketinggalan 0-1 dalam babak kedua dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit, termasuk penyudah jarak jauh pemain sayap, Andros Townsend, yang turut membantu jaringan penyamaan Michael Keane.

"Satu perkara mengenai pasukan ini, semua orang katakan yang kami memerlukan pemain sayap.

"Hari ini, Richarlison melakukan tugasnya dengan baik (di bahagian depan), juga dua pemain sayap yang membantu penyerang beraksi lebih baik.

"Apabila saya memutuskan bahawa Andros akan menjadi pemain yang penting buat kami, saya amat yakin. Dia seorang pemain profesional dan bersedia untuk belajar dan kami mempunyai sebilangan pemain yang mahu meningkatkan diri," tambahnya.