Benfica bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah PAOK 4-1 dan mengesahkan tempat di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah bersama PSV Eindhoven dan Red Star Belgrade yang menundukkan Red Bull Salzburg menerusi peraturan gol di tempat lawan, awal pagi tadi.

Selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama di Lisbon, gergasi Portugal itu ketinggalan hasil gol awal Aleksandar Prijovic yang menyempurnakan hantaran Mauricio.

Penyerang pelawat, Jardel, memberikan gol penyamaan buat Benfica pada minit ke-20, enam minit sebelum Eduardo Salvio menyempurnakan sepakan penalti pertama daripada dua yang diraih susulan kekasaran Alexandros Paschalakis ke atas Franco Cervi.

Penjaga gol Benfica, Odisseas Vlachodimos, cemerlang apabila menafikan percubaan Leo Matos -- yang dibuang padang selepas itu akibat layangan kad kuning kedua -- dan Pizzi menambah derita buat PAOK menerusi gol ketiga dari tengah kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Sepakan penalti kedua Salvio hadir selepas Fernando Varela menjatuhkan Jardela di penjuru kotak penalti, empat minit selepas rehat tatkala usaha Prijovic selepas itu sekadar menyaksikan bola terkena palang gol.

Keputusan itu menyaksikan Benfica akan berada dalam senarai pilihan kedua menjelang undian malam ini, perkhabaran yang bakal membuatkan Liverpool memulakan undian daripada balang ketiga.

Sementara itu, RB Salzburg dilihat bersedia untuk beraksi dalam saingan elit Eropah apabila Munas Dabbur menjaringkan dua gol awal sebelum dan selepas rehat, di mana gol kedua itu hadir menerusi sepakan penalti susulan kekasaran Vujadin Savic ke atas Hannes Wolf.

Namun, Ben Nabouhane menyempurnakan hantaran lintang Milos Degenek dari sebelah kanan pada minit ke-65 sebelum pemain dari Australia itu menanduk masuk 70 saat kemudian untuk mengikat kedudukan 2-2 dan peraturan gol tempat lawan menyaksikan Red Star meneruskan kemaraan.

Bagaimanapun, tiupan wisel penamat oleh pengadil menyaksikan penyokong masuk ke padang, sekali gus memaksa pihak Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) melakukan siasatan.

Di Stadium Philips, PSV memerlukan drama saat-saat akhir untuk menyingkirkan BATE 3-2, sekali gus memadamkan kelebihan dua gol pelawat menerusi kemenangan 3-0.

Kapten pasukan, Luuk De Jong, menjadi watak utama dalam mengilhamkan jaringan pertama, membolehkan Steven Bergwijn membuka tirai jaringan selepas 14 minit permainan sebelum dia menanduk masuk bola hantaran Jorrit Hendrix pada minit ke-36.

Pemain sayap sensasi Mexico, Hirving Lozano, menggegarkan palang menerusi sepakan percuma yang diraih, namun melengkapkan kebangkitan PSV di laman sendiri selepas sejam perlawanan menerusi gol rembatan kaki kanan melepas penjaga gol, Denis Scherbitski.